6 Tip Memandu Malam Supaya Kekal Selamat Sepanjang Perjalanan


SESETENGAH orang gemar memandu malam. Di Malaysia misalnya, memandu malam kurang meletihkan kerana cuaca lebih sejuk berbanding siang. Malah, jumlah kereta juga tidak sebanyak siang (kecuali hari perayaan), sekali gus membuatkan perjalanan lebih lancar.

Namun, memandu malam sebenarnya lebih berisiko berbanding memandu siang. Sudah tentu faktor yang mempengaruhi risiko bahaya antara kedua-dua situasi memandu itu ialah kejelasan pemanduan. Apabila memandu malam, anda bergantung kepada sumber cahaya yang dibekalkan kereta dan objek lain seperti lampu jalan. Jika berlaku kegagalan sumber cahaya, pandangan anda akan terjejas. Malah, pemanduan boleh terganggu disebabkan cahaya kenderaan lain seperti lampu suluh tinggi atau lampu kabus belakang yang dipasang sesuka hati.

Apapun, jika masih berkeras atau tidak dapat mengelak daripada memandu malam, sila ikuti 6 tip di bawah sebagai pedoman supaya kekal selamat sepanjang perjalanan. Akhir kata, sentiasa berhati-hati di jalan raya!



1. MALAPKAN CAHAYA DALAM KABIN
Elakkan mata daripada memandang terus cahaya lampu kenderaan hadapan kerana boleh membuatkan mata anda buta seketika. Malah, cahaya dari dalam kabin seperti papan pemuka atau lampu baca di kerusi penumpang juga boleh mengganggu pandangan hadapan anda.
Sila pastikan pencahayaan daripada panel instrumen atau papan pemuka digelapkan semalap mungkin supaya anda dapat melihat pandangan hadapan dengan jelas, termasuk tidak menjejaskan pandangan pengguna jalan raya lain.

2. PANTAU SITUASI JALAN RAYA
Mata anda mesti sentiasa memantau situasi jalan sepanjang memandu malam. Jangan fokus kepada satu titik sahaja. Masalah persepsi dalaman (depth perception) memang kerap berlaku apabila seseorang itu memandu malam yang menyebabkan anda sukar membuat anggaran atau andaian seperti mengenal pasti jarak memotong, objek sebenar dan lain-lain.
Jangan terlalu stres dengan memaksa mata anda memfokuskan sesuatu objek hingga mengabaikan perkara lain. Ini boleh menyebabkan mata anda mengalami masalah kekeringan dan keletihan.

3. SENGGARA LAMPU DEPAN
Kita kerap terlepas pandang tentang kemungkinan lampu depan tidak dijajarkan sebetulnya. Pastikan lampu depan dihalakan dengan betul supaya anda dapat melihat pandangan hadapan dengan jelas, termasuk tidak 'membutakan' pemandu di hadapan.
Lampu depan ibarat nyawa. Ia sangat penting untuk mengetahui apa yang dilihat apabila memandu malam. Lakukan senggaraan dengan betul. Jika memandu ke kawasan pedalaman, retina haiwan mampu memantulkan semula lampu depan kereta anda. Jangan panik dan cuba melihat secara terus ke arah pantulan tersebut. Pandu seperti biasa dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan haiwan itu berada atas jalan atau mahu menyeberang jalan.

4. KEKAL JARAK SELAMAT
Supaya selamat, lebih baik anda mengekalkan jarak selamat antara anda dan kenderaan hadapan. Ingat, memandu malam bukan saja mencabar bagi anda, tetapi juga pengguna jalan raya lain. Jika mereka tidak dapat melihat sesuatu objek hingga minit akhir atau ada haiwan tiba-tiba melintas, mereka pasti akan membrek mengejut. Bukankah itu membahayakan anda? Kekalkan jarak selamat. Berikan masa membrek yang cukup.

5. LAP CERMIN DEPAN DENGAN SURAT KHABAR
Apabila siang, cermin depan anda nampak terang, bersih dan jelas. Namun, pada malam anda mungkin perasan pandangan agak terganggu akibat biasan dan tempias cahaya pada cermin depan yang datang dari lampu kenderaan hadapan atau lampu jalan. Cuba lap cermin depan kereta dengan surat khabar untuk menyingkirkan debu dan habuk yang ada.

6. TIDUR SEBENTAR
Jika rasa letih, cari tempat selamat dan cubalah tidur sebentar. Secara normal, kebanyakan kita tidur sebelah malam. Ini membuatkan paten berjaga kita sedikit terganggu kerana perlu memandu malam. Apa yang perlu dilakukan ialah tidur sebentar apabila anda rasa mengantuk untuk mendapatkan kesegaran semula. Jika ada penumpang dalam kereta, mintalah dia memandu dan anda pula tidur secara bergilir.




Comments

Popular posts from this blog

Kereta Sewa Di Penang Airport

Kereta Sewa Murah Di Pulau Pinang, Hanya Dari RM49.90/Sehari